Tiga Penjenayah Ditembak Mati Polis

Polis menembak mati tiga daripada empat penjenayah warga Indonesia bersenjatakan pistol dan parang dalam kejadian berbalas tembak di Jalan Parit Mahang, Ijok di sini awal pagi ini.

Seorang lagi suspek berjaya melarikan diri ke dalam hutan dan kini sedang diburu.

Difahamkan, kesemua suspek baru menyamun dan mencederakan penghuni sebuah rumah di Kampung Berkat kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian pada pukul 3 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Adnan Abdullah berkata, sebaik menerima laporan kegiatan jenayah itu, polis menjalankan siasatan dan terserempak dengan kenderaan suspek terbabit.

Beliau berkata, suspek cuba lari dan dikejar sejauh tiga kilometer sebelum tiga daripada mereka mati selepas berbalas tembak dengan polis di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, seorang lagi suspek berjaya melarikan diri ke dalam hutan,” katanya.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan menemui dua pucuk pistol jenis revolver dan Smith and Wesson, tiga bilah parang, sabit, beg komputer riba dan sejumlah wang di dalam kereta yang dinaiki suspek yang dipercayai kenderaan curi.

– UTUSAN

Facebook Comments

Comments are closed.

Close