Suami Cemburu Langgar Kereta Isteri Berpuluh Kali

Gara-gara mengesyaki pasangannya melakukan suatu perkara tidak baik, seorang pemandu lori merempuh sehingga remuk kereta milik isterinya yang ketika itu diletakkan di hadapan rumah mereka di Taman Suria, Sungai Buloh dekat sini malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 11.40 malam, selepas pasangan terbabit bertengkar. Akibat hilang pertimbangan, lelaki itu memandu lori muatan satu tan dan merempuh kereta Perodua MyVi isterinya berulang kali sehingga remuk.

Seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu, sebelum kejadian, mereka terdengar suami isteri itu bertengkar dan tidak lama kemudian, bunyi dentuman kuat di luar rumah.

“Saya menjenguk keluar dan terkejut apabila melihat jiran lelaki saya itu sedang memandu lori dan merempuh kereta isterinya yang diletak di luar pintu pagar rumah.

“Ketika itu, saya nampak dia sangat marah dan bertindak merempuh kereta isterinya berulang kali iaitu kira-kira 40 kali,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian awal pagi ini.

Menurut jiran itu lagi, wanita yang terkejut dengan tindakan ganas pasangannya bertindak melarikan diri ke rumah ibu bapanya di kawasan perumahan sama.

Katanya, wanita tersebut kemudian menghubungi polis memaklumkan tentang kejadian tersebut.

Tambahnya, rempuhan tersebut turut mengakibatkan tembok dan pagar sebuah rumah terletak berjiran dengan keluarga itu rosak teruk.

“Apabila polis tiba di tempat kejadian, mereka cuba memenangkan lelaki terbabit.

“Hasil perbincangan, lelaki yang mengamuk itu bersetuju mengeluarkan dua cek masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM3,000 untuk diserahkan kepada jirannya bagi membayar ganti rugi terhadap pagar serta tembok yang dirosakkan,” ujarnya.

Sementara itu, pemandu lori berusia lingkungan 40-an apabila ditemui di balai polis selepas insiden itu memberitahu, dia hilang pertimbangan kerana terlalu marah apabila mengesyaki isterinya yang mengusahakan kantin di sebuah kilang telah melakukan sesuatu yang tidak baik terhadapnya.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan apa perkara tidak baik yang dimaksudkan itu apabila ditanya lanjut.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close