Saiful Apek Positif Dadah

Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu bahawa ujian saringan air kencing pelakon komedi, Saiful Apek bersama tiga rakannya termasuk seorang wanita menunjukkan mereka positif dadah ganja.

Menurut Detektif Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Sarjan M. Sanggar, 48, dia diarahkan membuat ujian itu oleh Cif Inspektor Shaifuddin Mohd. Zulkifli yang mengetuai serbuan terhadap pelakon tersebut dan rakan-rakannya di No. 306, Blok C, Kondominium Sunway di sini pada pukul 10 malam, 12 Jun 2010.

Katanya, proses pengambilan bahan bukti yang bermula daripada mengambil spesimen air kencing hingga ke memateri tudung botol spesimen itu dilakukan sendiri olehnya dengan dibantu pegawai penyiasat dari IPD yang sama, Inspektor Rozlia Razali.

Sanggar merupakan saksi kedua dalam perbicaraan terhadap Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohamad Saifulazam Mohamed Yusof, 43, serta tiga yang lain atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

Tiga tertuduh tersebut ialah Shah Zainatul Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 29, Shaiful Baharom, 25, dan Noremy Mohamad, 29.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Ketika diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad untuk mengecam gambar botol spesimen, Sanggar mengakui telah melakukan kesilapan pada label bekas air kencing milik Saiful Apek dan Noremy apabila menulis tarikh 12 September 2010 sedangkan tarikh sebenar ialah 12 Jun 2010.

Peguam Zambri Idrus yang mewakili kesemua tertuduh kemudian meminta Sanggar menjelaskan kesilapan tersebut, namun anggota polis itu berkata, tiada apa yang perlu dijelaskan kerana ia memang satu kesilapan.

Mendengar jawapan itu, Zambri menuduh Sanggar berbohong dan kemungkinan barang kes telah diganggu tetapi dinafikan oleh Sanggar.

”Ujian saringan dibuat di hadapan kesemua suspek dan saya memberitahu keputusan ujian itu kepada mereka sebelum menulis nama, nombor kad pengenalan dan tarikh pada label setiap bekas yang mengandungi air kencing.

”Selesai sahaja melabel, Inspektor Rozlia memateri kesemua tudung botol spesimen itu sebelum diserahkan kepada Cif Inspektor Shaifuddin,” katanya.

Terdahulu, Shaifuddin dalam keterangannya memberitahu ketika dia dan lapan anggota lain menyerbu unit kondominium tersebut, mereka menjumpai dadah disyaki ganja.

Menurutnya, kesemua botol spesimen yang mengandungi air kencing setiap tertuduh diterimanya dalam keadaan baik dan bersih sebelum diserahkan pula kepada pegawai penyiasat kes tersebut, Inspektor Syed Mohd. Rahayat Syed Ramlee.

Perbicaraan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid bersambung pada 27 Mac depan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close