Rumah Dzulkifly Timbalan PAS Johor Dibakar

Rumah teres dua tingkat milik Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dzulkifly Ahmad rosak sebahagian dalam kebakaran manakala salah sebuah kereta miliknya rosak teruk, dipercayai akibat perbuatan khianat awal pagi tadi.

Bagaimanapun Dzulkifly bersama isteri dan dua anaknya serta empat saudara maranya selamat dengan bertindak keluar menerusi pintu belakang rumah mereka di Taman Universiti di sini.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3.40 pagi tadi.

“Kereta dalam garaj dipercayai disimbah minyak meletup. Api marak ke ruang tamu, dan letupan menyebabkan keluarga beliau sedar dan bertindak keluar.

“Beliau (Dzulkifly) ahli keluarga sempat keluar ikut pintu belakang. Anggota polis dan unit forensik ada menemui botol minyak tanah lima liter di kawasan rumah Haji Zulkifli,” kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Mazlan Aliman ketika dihubungi Sinar Harian Online awal pagi tadi.

Mazlan yang berada di tempat kejadian ketika dihubungi berkata, pihaknya percaya ia perbuatan khianat pihak-pihak tertentu.

“Haji Dzulkifly akan membuat laporan polis pagi ini,” katanya lagi.

Mazlan memberitahu, beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu adalah cubaan membunuh.

Dzulkefly sebelum ini, tambah Mazlan, banyak mendedahkan isu-isu panas di negeri Johor dan dikhuatiri ada pihak yang tidak senang dengan tindakan beliau.

Dalam pada itu, Dzulkifly ketika dihubungi menjelaskan, bahagian depan rumah dan ruang tetamu rosak teruk dalam kejadian awal pagi ini.

“Saya sedar rumah saya terbakar selepas terdengar letupan kuat. Kereta BMW saya rosak sama sekali dan satu lagi kereta rosak sebahagian. Api marak ke ruang tamu, memaksa kami keluar ikut jalan belakang,” katanya yang turut mengesahkan ada menemui bekas minyak.

“Ini kali pertama saya alami kejadian ini. Kami ada temui bekas minyak,” katanya sama ada beliau percaya ia akibat perbuatan khianat.

Ketika ditemui di rumahnya, beliau berkata, “isteri (saya) bersama jiran turut terjaga kerana letupan ini.”

“Sebaik sahaja turun ke aras bawah rumah, saya mendapati bahagian depan rumah dan kereta sudah terbakar. Saya segera memanggil isteri dan lima ahli keluarga lain untuk turun ke bawah. Bimbang dengan keselamatn saya sekeluarga, kami segera menyelamatkan diri menerusi pintu belakang,” katanya.

Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 pagi sewaktu beliau dengan enam anggota keluarganya sedang nyenyak tidur di tingkat atas rumah.

Kata beliau, pihak bomba berjaya memadamkan api daripada terus marak.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close