Remaja Melecur Teruk Dipercayai Dibakar Tiga Lelaki

Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun melecur hampir 80 peratus pada badannya dipercayai dibakar oleh tiga lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Tengi Gedangsa, Hulu Selangor semalam.

Mangsa, Muhammad Syahirudin Mohd Shauki dari Kota Damansara kini dilaporkan kritikal dan tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Norel Azmi Yahya Afendy, pihak hospital telah mengesahkan bahawa kecederaan mangsa adalah kerana dibakar setelah disimbah dengan petrol pada tubuhnya.

Beliau berkata dalam kejadian 6.40 pagi itu, mangsa pada mulanya dipercayai telah menaiki sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki.

“Remaja itu menaiki kereta terbabit tanpa mengetahui ke mana arah tuju mereka dan polis percaya mangsa mengenali kumpulan lelaki berkenaan,” katanya.

Norel Azmi berkata siasatan awal mendapati mungkin timbul rasa tidak puas hati kumpulan lelaki berkenaan terhadap mangsa sehingga mencetuskan tindakan untuk membakar mangsa.

Beliau berkata selepas dibakar, mangsa dilaporkan telah berusaha berjalan keluar dari kawasan ladang tersebut menuju ke jalan raya bagi mendapatkan pertolongan.

“Dalam keadaan badannya yang melecur teruk, mangsa menggagahkan diri untuk berjalan sejauh 400 meter bagi mencari perlindungan dan telah berlindung di sebuah rumah berhampiran sehingga ambulans tiba dan membawanya ke hospital berhampiran,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Norel Azmi berkata polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.- Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close