Remaja 18 Tahun Nyaris Maut Motor Terbang

Seorang remaja berusia 18 tahun nyaris maut apabila motosikal yang dinaikinya ‘terbang’ sebelum jatuh ke dalam semak berdekatan bulatan di Dataran Merdeka di sini, ketika cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya, awal pagi semalam.

Ketua Unit Kuat Kuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, remaja yang menunggang motosikal Yamaha LC itu terlebih dulu menunggang melawan arus selepas berdepan sekatan polis ketika dia hendak memasuki kawasan Dataran Merdeka.

PERIKSA...anggota polis memeriksa motosikal remaja terbabit.

PERIKSA...anggota polis memeriksa motosikal remaja terbabit.

“Bagaimanapun, dia gagal mengawal motosikalnya pada kelajuan tinggi menyebabkan dia terbabas dan merempuh batu pembahagi jalan mengakibatkan motosikalnya ‘terbang’ sebelum jatuh ke dalam semak.

“Dia bernasib baik kerana hanya cedera ringan, namun motosikalnya rosak teruk,” katanya.

Azmi berkata, dua lagi remaja yang menunggang sebuah motosikal Yamaha 125Z cuba merempuh anggota polis trafik ketika lari dari sekatan jalan raya.

“Namun, mereka ditahan selepas dikejar di kawasan berdekatan dan selepas diperiksa, mereka tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

Azmi berkata, dalam operasi bermula jam 12.30 malam hingga 3 pagi itu, sebanyak 185 saman dikeluarkan terhadap 171 pemilik motosikal dan 14 kereta selepas 420 kenderaan diperiksa.

Menurutnya, 46 orang disaman atas kesalahan tidak mempunyai lesen iaitu jumlah kesalahan yang paling tinggi manakala 35 saman dikeluarkan atas kesalahan tidak memiliki insurans kenderaan, 12 cukai jalan tamat tempoh serta pelbagai kesalahan lain.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di Plaza Tol Baru 9, Cheras, kelmarin, empat lelaki berusia 20 hingga 30-an dicekup selepas didapati positif dadah dalam operasi bersepadu polis trafik Selangor dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penguasa Trafik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, ASP Hambazi Abdul Rahman berkata, hasil saringan air kencing, tiga daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja manakala seorang lagi positif heroin.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah selain saman dikeluarkan ke atas mereka kerana tidak mempunyai lesen memandu.

“JAS pula mengeluarkan 97 saman atas pelbagai kesalahan dan empat kompaun kerana kesalahan bunyi enjin tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close