Raja Lawak 6 Minggu 6 | Skema & Riki Tersingkir

Selepas berjuang selama enam minggu di Gelanggang Raja Lawak 6 (RL6), akhirnya perjalanan dua kumpulan iaitu Skema dan Riki berakhir sebentar tadi selepas mereka diumumkan sebagai dua peserta yang tersingkir.

Skema dan Riki tersingkir selepas mendapat undian terendah berbanding enam peserta lain yang membuat persembahan di minggu keenam ini. Kumpulan 2Yol yang turut diumumkan antara tiga peserta yang mendapat undian terendah bagaimanapun terselamat dari penyingkiran.

Berlangsung dari Pusat Penyiaran Asia, Bukit Jalil, minggu keenam Gelanggang Raja Lawak 6 membawakan tema retro dan para peserta diminta membuat persembahan berdasarkan situasi, gaya pemakaian, dialek bahasa dan imej yang berdasarkan nostalgia zaman 50-an, 60-an, 70-an atau 80-an.

Tiada peserta yang benar-benar menyerlah pada minggu ini. Rata-rata mereka masih menampilkan persembahan lawak pada tahap sederhana dan persoalan siapa yang benar-benar menonjol sebagai bakal juara masih samar.

Penyingkiran Skema dan Riki diumumkan oleh salah seorang juri tetap iaitu Sheila Rusly. Selain Sheila, dua lagi juri tetap untuk setiap minggu ialah penerbit terkenal David Teoh dan pelawak Sathiya. Gelanggang RL6 turut dipancarkan secara langsung di saluran Astro Warna (saluran 132) dan dihoskan oleh Jozan.

Kumpulan Skema adalah dibawah tunjuk ajar Cif Kecil Tauke (Jambu) manakala kumpulan Riki pula di bawah tunjuk ajar Cif Kecil Angah. Dengan penyingkiran mereka, tinggal enam lagi peserta untuk berentap minggu hadapan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close