PDRM Belum Sahkan Samada Suspek Ditahan Adalah Helmi

Kementerian Luar dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima pengesahan daripada pihak berkuasa Indonesia mengenai penahanan rakyat Malaysia yang diburu sejak tiga tahun lalu bagi membantu siasatan penyebaran gambar separuh bogel Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong.

Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay berkata, pihaknya telah menghubungi pihak berkuasa negara jiran itu untuk pengesahan bagaimanapun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan sehingga kini.

“Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan media hari ini dipercayai dipetik daripada sumber berita asing,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pihaknya juga belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai penahanan lelaki berusia 37 tahun tersebut sejak berita mengenainya disiarkan media asing.

“Lelaki itu masih dikehendaki polis Kuala Lumpur untuk membantu siasatan kes melibatkan Elizabeth yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor.

“Sekiranya benar ada tangkapan kami akan berurusan dengan pihak berkuasa Polis Republik Indonesia (Polri) melalui saluran tertentu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan beberapa akhbar hari ini yang menyiarkan berita berhubung penahanan seorang lelaki yang mendakwa sebagai anggota PKR.

Dalam laporan sebuah portal dari negara jiran itu Sabtu lalu, rakyat Malaysia tersebut yang dikenali sebagai ‘Azmin Helmi’, 37, ditahan oleh pegawai Imigresen Indonesia di Batam sehari sebelum itu kerana memiliki dokumen palsu.

Lelaki tersebut yang dikesan mempunyai alamat di Ampang, Selangor dan dilahirkan pada 27 Mac 1975 dikatakan mempunyai kad pengenalan Indonesia dan kad keluarga palsu dan dikeluarkan di Batam selain kad kelahiran palsu daripada Karimun.

Imigresen Batam pula dilaporkan memberitahu media bahawa Azmin yang menyatakan dia adalah anggota PKR telah memasuki Indonesia atas saranan keluarga dan parti tersebut, dengan menggunakan pasport Malaysia melalui pelabuhan Tanjung Balai di Karimun pada 15 Februari 2009.

Dia dikatakan memberitahu pegawai penyiasatan bahawa dia telah menjelajah ke serata Indonesia, melawat Pekanbaru, Jakarta selain tinggal di Cengkareng, Cingkawang dan Pondok Kelapa melebihi 30 hari tempoh visanya.

– Utusan

Facebook Comments

Comments are closed.

Close