Najib | Kaum India Akan Terima Durian Runtuh Dari Kerajaan

Masyarakat India di negara ini bakal mendapat ‘durian runtuh’ apabila kerajaan berjanji akan membuat pengumuman besar yang bertujuan membantu kaum minoriti itu tidak lama lagi.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ia sekali gus memberi kegembiraan berganda kepada masyarakat India yang menyambut Thaipusam hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara terperinci apakah pengumuman besar yang bakal dibuat dalam masa terdekat itu, sebaliknya menegaskan, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mungkir janji.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India supaya menjadi rakan kongsi BN bagi membolehkan lebih banyak transformasi untuk kaum itu dilakukan kerajaan.

Katanya, konsep rakan kongsi itu perlu berasaskan kepada semangat ‘nambikei’ iaitu kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan agar segala usaha transformasi yang telah dirancang dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Ada satu lagi pengumuman besar akan dibuat dalam masa terdekat bagi membantu masyarakat India. Ini sebagai bukti keikhlasan dan keprihatinan kerajaan terhadap sumbangan kaum India terhadap kemajuan negara.

“Pada masa sama kita memerlukan rakan kongsi dan dengan konsep ‘nambikei’ banyak yang boleh dilakukan untuk membantu masyarakat India,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Thaipusam di Batu Caves di sini hari ini.

Janji ‘durian runtuh’ itu kemudiannya disambut dengan tepukan gemuruh sebahagian besar daripada keseluruhan kira-kira 1.5 juta masyarakat India yang memenuhi pekarangan Batu Caves sejak awal pagi.

Hadir sama, Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel; timbalannya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Duta Khas ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, pengumuman yang bakal dibuat adalah rentetan kepada siri bantuan sebelum ini yang telah banyak disalur kerajaan kepada masyarakat India selaras dengan janji rakyat diutamakan.

Sebagai contoh katanya, pada 2010, beliau meluluskan peruntukan RM3 juta untuk menceria kuil di Batu Caves dan memberi RM4 juta bagi membina bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Batu Caves.

Selain itu jelas Perdana Menteri, kerajaan juga meluluskan peruntukan RM340 juta bagi menaik taraf SJKT di seluruh negara sebelum menambah lagi sebanyak RM100 juta pada bajet 2012 yang dibentangkan baru-baru ini.

“Kerajaan tidak pernah mungkir janji dan saya bagi jaminan bahawa kerajaan BN tetap melaksanakan semua janji sama ada pada kaum India mahupun komuniti lain,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close