Minyak Masak Pakej Terputus Bekalan Lagi

Bekalan minyak masak peket satu kilogram di sekitar ibu kota dipercayai terputus lagi sehingga menyukarkan orang ramai mendapatkan bahan tersebut sejak beberapa minggu lalu.

Menurut mereka, banyak kedai mereka pergi tetapi bekalan minyak masak tersebut sukar diperoleh seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Malah tinjauan Utusan Malaysia ke beberapa pasar raya di Ampang dan kedai runcit di sekitar Kampung Baru dan Jalan Chow Kit di sini mendapati, rak jualan bekalan minyak masak peket satu kilogram terbiar kosong.

Seorang peruncit, Suhairi Zainal Abidin berkata, kedainya juga sudah tidak menerima bekalan minyak masak peket satu kilogram yang mencukupi sejak sebulan lalu.

“Ada pelanggan mengadu kami tidak mahu menjual minyak masak tersebut. Kami bukannya tidak mahu jual, tetapi bekalan memang tidak ada.

“Apa yang dihantar oleh pembekal, itulah yang kami jual. Malah kami juga tidak membuat sebarang catuan kepada pelanggan ketika mereka datang membeli barangan tersebut,” katanya.

Seorang lagi peniaga kedai, Harhunuddin Rostam berkata, dia juga menghadapi masalah mendapatkan bekalan minyak masak peket satu kilogram berbanding dengan bahan mentah lain seperti beras, gula, susu dan tepung.

“Saya percaya bukan pengguna tidak mahu membeli minyak masak botol tetapi harga minyak masak peket jauh lebih murah dan mampu dibeli. Saya harap kementerian dan pihak bertanggungjawab dapat turun padang dan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kekurangan bekalan itu,” katanya.

Dalam pada itu, seorang surirumah, Zakiah Mat Som, 59, pula menjelaskan, disebabkan kedai runcit di sekeliling kediamannya kehabisan bekalan, dia terpaksa ke kedai borong untuk membeli minyak peket berkenaan.

“Sebagai pengguna, kesannya tidak terlalu ketara tetapi peniaga makanan mungkin menghadapi masalah besar ekoran ketiadaan bekalan minyak masak itu,’’ katanya.

Seorang pengguna, Ahmad Sarbaini, 49, berkata, kerajaan harus segera membuat siasatan untuk mengenalpasti masalah tersebut, sekali gus menanganinya.

“Kita faham apabila bekalan tidak mencukupi dan kurang, permintaan pula tinggi, jadi pastinya pengguna ditekan dengan kenaikan harga barang.

“Saya berharap pihak berkenaan dapat memainkan peranan agar harga barangan tidak naik kerana majoriti pengguna di negara ini bukanlah golongan berpendapatan tinggi,” katanya.

Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Salina, 25, berkata, dia berharap minyak masak peket dapat diperoleh dengan lebih mudah kerana harga minyak masak dalam botol lebih tinggi harganya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close