Kereta Terbakar | Wanita Thai Maut

Seorang wanita warga Thailand maut akibat melecur teruk setelah kereta dinaiki bersama teman lelakinya terbakar dalam kemalangan di Jalan Pudu Ulu berhampiran Menara PGRM, Cheras di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 4.28 pagi itu, mangsa, Atittaya Wongtanaphakdee yang melecur teruk sempat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPHUKM) di sini, untuk mendapatkan rawatan tetapi gagal diselamatkan.

Gambar hiasan

Gambar hiasan

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, kemalangan ngeri itu berlaku apabila kereta Toyota Vios dinaiki pasangan kekasih terbabit yang diletakkan di bahu jalan berhadapan Menara PGRM dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta Perodua Myvi.

Beliau berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan kereta mangsa merempuh pula sebuah Proton Saga yang berada di hadapan.

“Akibatnya, tangki kereta Toyota Vios dinaiki mangsa terbakar dan memusnahkan hampir keseluruhan kenderaan itu.

“Atittaya yang duduk di tempat penumpang mengalami kecederaan dan melecur telah dikejarkan ke wad kecemasan PPHUKM tetapi gagal diselamatkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kebakaran itu menyebabkan kereta Toyota Vios terbabit hangus keseluruhan sehingga nombor pendaftarannya tidak dapat dikenal pasti.

Abdullah berkata, dalam kejadian itu, teman lelaki mangsa yang merupakan rakyat tempatan bagaimanapun bernasib baik kerana terselamat.

Katanya, Atittaya merupakan warga Thailand dan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan bulanan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close