Kementerian Timbang Beri Dana tambahan untuk peniaga kecil

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mempertimbangkan dana tambahan sebanyak RM50 juta untuk disalurkan kepada penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, ia sebagai tambahan kepada peruntukan RM50 juta melalui program Usahawan Kecil Dinamik (UK Dinamik) yang dilaksanakan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Beliau berkata, dana tambahan itu dipertimbangkan selepas pihaknya mendapat permohonan daripada peniaga melalui siri jelajah serta tinjauan keperluan mereka.

“Melalui tinjauan yang dibuat ramai peniaga mengakui dana RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri September lalu itu tidak cukup. Jadi kita ambil keputusan untuk mempertimbangkan tambahan sebanyak RM50 juta lagi.

“Ia akan disalurkan melalui Mara bermula tahun ini dan dijangka prosesnya akan dipermudahkan agar semua pihak terutama penjaja dan peniaga kecil mendapat manfaat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat negeri Pulau Pinang di Pasar Aneka Taman Selat di sini hari ini.

Hadir sama, pada majlis itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman; Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Pulau Pinang, Datuk Dr. Norraesah Mohamad.

Menurut Shafie, daripada jumlah RM50 juta melalui peruntukan awal UK Dinamik itu, sebanyak RM12.3 juta disalurkan sebagai pinjaman kepada penjaja dan peniaga kecil di Pulau Pinang bagi membiayai bantuan latihan serta kewangan kepada usahawan.

Pada majlis itu, Shafie turut mengumumkan peruntukan tambahan RM3 juta kepada penjaja dan peniaga kecil yang akan disalurkan melalui Mara mulai tahun ini.

“Selain itu, kita juga menyediakan peruntukan sebanyak RM1.7 juta bagi membimbing dan menyediakan peluang latihan keusahawan kepada peniaga kecil di negeri ini.

“Saya juga akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membaiki bumbung pasar aneka ini yang mengalami kebocoran,” ujarnya.

Jelas beliau, segala bantuan yang disalurkan itu adalah satu rangsangan kepada penjaja dan peniaga kecil untuk kelangsungan hidup mereka serta menjanjikan pulangan yang berterusan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close