Hilmi akan Dibawa Pulang Selepas Selesai Proses Undang-undang Indonesia

Hilmi Hazimin Malek yang kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Indonesia hanya akan dibawa pulang ke negara ini untuk siasatan kes penyebaran gambar separuh bogel Elizabeth Wong, selepas lelaki itu selesai menjalani proses undang-undang di negara jiran itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, lelaki itu perlu melalui proses pendakwaan dan hukuman di Indonesia sekiranya disabitkan kesalahan memiliki dokumen palsu.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya belum mendapat laporan penuh daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung status siasatan kes lelaki berkenaan.

“Apabila polis di negara itu sudah mengesahkan sama ada dia didakwa, dikenakan tindakan undang-undang dan kemudian dia dibebaskan barulah kita mengambil tindakan membawa pulang Hilmi untuk siasatan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1433 Hijrah Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam laporan sebuah portal dari negara jiran itu Sabtu lalu, rakyat Malaysia tersebut yang dikenali sebagai ‘Azmin Helmi’, 37, ditahan oleh pegawai Imigresen Indonesia di Batam sehari sebelum itu kerana memiliki dokumen palsu.

Diminta mengulas berhubung kes penyelewengan pengeluaran tender projek baik pulih Muzium PDRM yang didakwa melibatkan anggota pasukan itu, beliau berkata, siasatan setakat ini mendapati ia dilakukan oleh pihak luar.

“Setakat ini, kita ada terima laporan tahun lepas dari seorang mangsa yang dijanjikan akan memperoleh tender namun, tidak melibatkan mana-mana anggota PDRM.

“Mangsa yang merupakan individu bukan di kalangan anggota PDRM itu dijanjikan akan mendapat kontrak mengubah suai muzium itu namun, sebaliknya dia telah ditipu,” katanya.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan bahawa seorang pegawai dan seorang anggota PDRM yang bertugas di muzium berkenaan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan tersebut.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close