Ditikam Selepas Bertengkar Dengan Rakan Serumah

Seorang pekerja ladang dijumpai mati dengan tiga kesan tikaman di badannya selepas dipercayai bertengkar dengan seorang rakannya di hadapan rumah pekerja di Ladang Rakanan Jaya, IJM Paitan dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan V. Sivanathan berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Jamal Tepo, 34, ditemui isterinya dalam keadaan berlumuran darah tersandar di tepi sebuah bukit.

Katanya, sebelum kejadian pukul 12.30 tengah hari, Jamal dikatakan telah bertengkar dengan suspek yang berusia 31 tahun.

“Mangsa kemudian tidak pulang ke rumah menyebabkan isterinya keluar mencari lelaki itu di sekitar rumah kongsi berkenaan.

“Mangsa kemudian ditemui di tepi bukit dengan keadaan berlumuran darah dan telah meninggal dunia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sivanathan berkata, kejadian itu hanya dimaklumkan kepada pengurus ladang selepas beberapa jam ekoran kawasan rumah pekerja tersebut terletak jauh dan tiada talian telefon.

Menurutnya, pihak polis yang menerima maklumat bergegas ke tempat kejadian dan menemui sebilah pisau berukuran kira-kira 2.4 sentimeter serta sarungnya dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan tikaman pada badan mangsa dan mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Beluran untuk bedah siasat,” ujarnya.

Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan berhubung motif kejadian tersebut dan memburu suspek yang merupakan warga Filipina.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close