Budak 12 Tahun Maut Akibat H5N1 Di Bali

Seorang budak lelaki berusia 12 tahun dari pulau percutian Bali menjadi mangsa terbaharu wabak selesema burung yang sudah meragut empat nyawa di Indonesia pada tahun ini.

Kanak-kanak itu mula demam pada 11 Februari lalu sebelum dimasukkan ke hospital lima hari kemudian, kata Ketua Kawalan Penyakit Berjangkit daripada Haiwan, Kementerian Kesihatan Indonesia, Rita Kusriastuti.

“Dia mengalami masalah semput dan akhirnya meninggal dunia Selasa lalu. Ujian makmal mengesahkan dia mati akibat virus H5N1,” tambah Rita.

Kebimbangan terhadap virus selesema burung kembali meningkat di Asia selepas China melaporkan kematian pertama akibat virus H5N1 dalam tempoh 18 bulan pada Disember lalu.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Indonesia merupakan negara yang paling teruk terjejas dengan wabak H5N1 dengan 150 kematian direkodkan antara 2003 hingga 2011.

Kementerian Kesihatan Indonesia dalam laman webnya menyatakan seramai 154 orang meninggal dunia setakat ini sejak 2005.

– AFP

Facebook Comments

Comments are closed.

Close