Briged Sukarelawan Khidmat Negara Dilancarkan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu melancarkan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) yang memberi ruang dan peluang kepada bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menyumbang bakti kepada masyarakat.

Perdana Menteri berkata dengan seramai 650,000 bekas pelatih PLKN, BSK Ndiihat mampu menjadi satu angkatan yang hebat dan unggul sebagai sebuah badan sukarelawan di negara ini.

“BSKN boleh digemblengkan dalam kejadian mala petaka atau bencana alam seperti banjir, tanah runtuh atau kebakaran serta pelbagai aktiviti sukarelawan seperti mengindahkan kawasan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran BSKN di padang awam, pusat bandar Dara Chini di Chini dekat ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Najib berkata beliau amat berharap penubuhan BSKN bukan sahaja memberi peluang kepada anggota briged itu melaksanakan kerja-kerja sukarelawan tetapi sebagai pendedahan kepada meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang kerjaya dan kehidupan.

“Kerajaan membelanjakan peruntukan yang besar dalam program PLKN, sebanyak RM650 juta setahun. Bagi tempoh tiga bulan (latihan PLKN), kerajaan membelanjakan sebanyak RM8,002 untuk setiap pelatih, kita anggap ini satu pelaburan (kepada negara) dalam membentuk barisan pelapis yang mempunyai jati diri yang kukuh,” katanya.

Najib berkata PLKN yang dilaksanakan sejak 2004 bertujuan mencapai tiga objektif iaitu mengukuhkan semangat patriotisme, membentuk perpaduan serta intergrasi nasional dan membentuk nilai-nilai murni di kalangan generasi muda berasaskan kepada lima prinsip Rukun Negara.

Kerajaan juga akan melaksanakan penubuhan One Malaysia Corp, yang akan menggabungkan usaha dan tenaga pelbagai kumpulan belia sukarelawan daripada pelbagai bangsa bagi merealisasikan gagasan 1Malaysia, katanya.

“Persiapan (untuk menubuhkan One Malaysia Corp) sedang dibuat dan akan diumumkan tidak lama lagi”.

Beliau berkata menerusi One Malaysia Corp, gabungan yang melibatkan anggota BSKN, Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Rakan Muda dan kumpulan-kumpulan sukarelawan yang lain, ia dilihat akan menjadi satu angkatan yang hebat dan unggul.

“Penubuhan One Malaysia Corp itu nanti akan menjadi sendi kekuatan baru untuk kebaikan negara,” katanya.

BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close