Bapa Ditembak Ketika Tunggu Anak

Seorang bapa yang sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah, nyaris maut apabila cedera rusuk kiri kerana ditembak beberapa lelaki di luar premis sebuah sekolah di Jalan Gasing, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisoner Arjunaidi Mohamed berkata, semasa kejadian jam 12.30 te­ngah hari semalam, mangsa dihampiri beberapa lelaki bermotosikal, kemudian melepaskan enam das tembakan.

“Dua daripada tembakan itu mengenai mangsa. Mangsa yang cedera kemudian melarikan diri sejauh enam kilometer sebelum melanggar tiang lampu dan sebuah Mitsubishi Pajero, di hadapan rumah di Jalan 6/5 di sini,” katanya.

Menurutnya, mangsa diselamatkan orang ramai dan dibawa ke Hospital Assunta untuk menerima rawatan.

“Kita belum peroleh identiti mangsa dan menunggu laporan perubatan hospital.

“Kita tidak menolak ke­mungkinan, suspek yang menyerang mangsa lebih daripada seorang,” katanya.

Beliau berkata, siasatan menemui lima kesan temba­kan di bahagian cermin dan bonet depan kereta mangsa.

Katanya, motif sebenar sedang dikenal pasti dan kes disia­sat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

Arjunaidi berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian, diminta tampil ke balai polis terdekat atau terus menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, 03-79662222 bagi membantu siasatan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close