Bangkok Mohon Ekstradisi Warga Iran Ditahan Di Malaysia

Bangkok memohon mendapatkan ekstradisi seorang rakyat Iran yang ditahan di Malaysia kelmarin, yang disyaki mempunyai kaitan dengan tiga kejadian letupan bom di bandar raya ini pada Selasa lalu.

Menteri Luar, Dr Surapong Tovichakchaikul berkata, Bangkok kini dalam proses untuk mengekstradisi suspek itu ke negara ini.

Suspek berusia 31 tahun itu ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, kira-kira 80 kilometer dari ibu negara Malaysia, semalam.

Dia ditahan ketika ingin berlepas ke Tehran selepas tiba dengan penerbangan dari Bangkok malam sebelumnya.
Menurut laporan Bernama yang memetik polis Malaysia dalam kenyataannya berkata bahawa lelaki itu ditahan mengikut Akta Imigresen dan dia masih ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kegiatan keganasan berkaitan kejadian pengeboman di Thailand.

Tiga letupan bom menggegarkan bandar raya ini pada Selasa, termasuk kejadian yang menyebabkan seorang rakyat Iran hilang kedua-dua kakinya apabila bom yang dilempar ke arah kereta peronda polis, melantun semula dan mengenainya di Jalan Sukhumvit 71, di sini.

Letupan bom yang pertama berlaku di rumah sewa suspek berhampiran jalan itu dan letupan kedua apabila suspek melempar sebutir bom ke arah sebuah teksi yang enggan mengambilnya berhampiran jalan itu manakala bom ketiga dilempar apabila sebuah kereta peronda polis menghalangnya di jalan itu.

Sehingga kini, polis Thai menahan dua suspek rakyat Iran, termasuk yang cedera dan kini dirawat di sebuah hospital di sini.

Suspek keempat, seorang wanita Iran masih bebas dan dilapor telah meninggalkan Thailand awal bulan ini.
Keempat-empat mereka menyewa sebuah rumah berhampiran Jalan Sukhumvit 71 yang kini rosak sebahagiannya akibat letupan pertama.

Dalam perkembangan lain, 14 negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Austria, Israel dan Korea Selatan telah mengeluarkan amaran perjalanan menasihatkan rakyat mereka untuk berhati-hati ketika berada di kawasan awam berikutan kejadian letupan bom di Bangkok itu.

Di Parlimen Thai hari ini, Bangkok masih mengatakan bahawa kejadian itu bukan serangan pengganas.
Timbalan Perdana Menteri Yuthasak Sasiprapha memberitahu Parlimen bahawa tidak ada bukti untuk mengkalsifikasi kes itu sebagai serangan pengganas.

Bangkok mengekalkan pendiriannya bahawa sasaran serangan itu adalah individu dan bukan di kawasan sesak atau luas.

Ia adalah jenayah individu yang dilakukan oleh suspek dan bukan serangan pengganas, kata Yuthasak.
Majlis Keselamatan Negara Thai semalam menyatakan tiada kaitan antara kejadian letupan bom di Bangkok dan serangan bom di New Delhi dan Tbilisi, ibu negara Georgia baru-baru ini.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close