Akibat Dendam Dua Lelaki Parah Ditembak

Dua lelaki parah selepas ditembak di dalam sebuah rumah terpencil oleh dua lelaki yang dipercayai turut bertindak membakar rumah itu dan sebuah kereta Perodua Kelisa di Kampung Che Arus, Kok Lanas di sini awal pagi ini.

Kejadian pukul 5 pagi yang dikatakan berpunca daripada dendam itu mengakibatkan Raihan Razali, 25, dan Azrin Mohd. Zin, 23, masing-masing cedera di kaki kiri dan paha kanan selepas terkena tembakan yang dilepaskan suspek.

Ketika kejadian, seorang wanita, Nurul Farah Izwani Abdullah, 21, dan anaknya yang berumur enam bulan turut berada dalam rumah itu, namun tidak dicederakan dan diarahkan keluar oleh suspek.

Seorang lagi lelaki yang berada dalam rumah itu, Mohd. Fahmi Anuar sempat melarikan diri melalui tingkap rumah sebaik sahaja berlaku tembakan.

Kesemua mangsa yang cedera dan selamat dipercayai mempunyai hubungan sebagai rakan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, polis dimaklumkan oleh pihak bomba dan penyelamat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7 pagi ini selepas orang awam menghubungi pasukan penyelamat itu untuk memadam kebakaran.

Beliau berkata, polis sedang memburu kesemua suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

“Berdasarkan keterangan saksi, dua lelaki bertopeng memecah pintu bilik dan melepaskan tembakan.

“Saksi yang ketika itu bersama anak kecil diarah keluar dan melihat kedua-dua mangsa yang ditembak dalam keadaan kesakitan, malah ketika itu sebahagian rumah berkenaan sudah terbakar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dan berada dalam keadaan stabil.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 dan 436 Kanun Keseksaan,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close