Wan Kamarudin & Heliza Helmi Di Sinar

Kemunculan Wan Kamarudin Wan Ibrahim dan Heliza Helmi sebagai pengacara program dokudrama terbaru berjudul Sinar Itu Hadir Jua dijangka dapat menarik perhatian penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Program yang menyuntik kesedaran segelintir masyarakat yang terperangkap dalam kancah kemiskinan itu berkongsi tentang ketabahan dan kecekalan hati golongan individu yang kurang bernasib baik dalam mengharungi gelombang kehidupan.

Menariknya kisah diungkap adalah kisah benar diluahkan oleh insan-insan yang sudi membuka lipatan kisah duka mereka.

Menerusi 13 episod siarannya setiap Ahad, pukul 4.00 di TV1, Sinar Itu Hadir Jua berkongsi kisah demi kisah benar tentang perjuangan, ketekunan dan kecekalan hati segelintir masyarakat yang turut memaparkan institusi-institusi yang terlibat secara langsung dalam membantu insan-insan yang tidak bernasib baik seperti Orang Kelainan Upaya (OKU), Kutu Rayau, Pengemis dan banyak lagi.

Realiti kisah golongan yang kurang bernasib baik yang bukan sahaja memerlukan bantuan malahan bimbingan juga dipaparkan kepada penonton.

Antara kelainan program ini berbanding yang lain juga kerana ia menyuntik motivasi kepada penerima bantuan yang berpotensi untuk memajukan diri ke arah kehidupan yang lebih baik.

Malah bantuan ditawarkan juga berupa latihan kendiri termasuk kraftangan dan perniagaan kepada golongan terlibat.

Kisah-kisah ini dibawa untuk memberi contoh kepada masyarakat tentang keprihatinan masyarakat itu sendiri dalam menyelesaikan masalah yang melibatkan kehidupan mereka secara kolektif atau bersama.

Ia juga menyelami peranan badan-badan kebajikan terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam membantu insan-insan yang memerlukan.

Menariknya dokudrama ini turut merungkai kepentingan institusi-institusi bantuan dan kebajikan yang banyak membantu individu-individu bermasalah juga memaparkan perjuangan individu-individu yang tidak mahu menyerah kalah dan gigih berjuang meningkatkan kehormatan diri dan juga berusaha untuk membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan.

Keadaan individu-individu yang ditemui adalah berbeza tetapi persamaannya ialah tetap ada insan yang sudi memberi ruang bagi yang ingin berubah dan membuktikan bahawa golongan yang kurang bernasib baik sememangnya tidak pernah dipinggirkan.

Program diterbitkan oleh Noraziah Zakaria dan Mohd Zamani Ibrahim, Unit Drama TV RTM ini juga turut menampilkan lagu tema berrjudul Titipan Kasih nyanyian Royce Saayan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close