Roslee Ramlee | Pemain Bola sepak Era 80-an Meninggal

Bekas pemain bola sepak Perlis era 80-an, Roslee Ramlee, 53, meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas ketika berjoging di kawasan Bukit Lagi dekat sini, Jumaat.

Bekas penyerang pasukan Perlis itu dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) pukul 6.20 petang Jumaat dan meninggal dunia sejam kemudian.

Isterinya, Azihani Ali yang juga bekas anggota Exco kerajaan negeri Perlis berkata, suaminya yang juga seorang juruteknik di Jabatan Kerja Raya (JKR) sempat berjoging di situ kira-kira sejam sebelum menelefonnya di rumah dan mengadu sesak nafas lalu beliau membawanya ke HTF untuk mendapatkan rawatan.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai “Chik” menghembuskan nafas terakhir di hadapan Azihani dan dua anaknya, Alissa, 18 dan Afeeq, 16.

Jenazahnya dibawa pulang ke rumah mereka di Jejawi Alor Lanchang pukul 10.30 malam tadi. Jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jejawi Sungai Adam tengah hari Sabtu.

Di antara mereka yang menziarahi jenazah Allahyarham ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

– BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close