Rasuah | RM720,000 Dalam Rumah Pegawai Kanan Jabatan Perhutanan Perak

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan Jabatan Perhutanan Perak dan merampas wang tunai RM720,000 ketika menyerbu rumah lelaki itu di sini malam tadi.

Dalam serbuan pukul 10 malam itu, SPRM turut menemui beberapa akaun saham amanah atas nama ahli keluarganya yang nilai pelaburannya mencecah RM4 juta.

Menurut sumber, serbuan itu adalah susulan penahanan seorang pegawai jabatan berkenaan berusia 40-an dan seorang tauke balak di Hutan Kuar, Pangkalan Hulu, semalam, dan menyita 300 batang kayu balak, dipercayai ditebang di luar kawasan.

“Kesemua wang tunai yang ditemui di rumah itu, disorokkan di dalam lipatan kain telekung serta di bahagian dapur dan ruang tamu.

“Pegawai kanan itu kemudian dibawa ke Pejabat SPRM Perak di Ipoh untuk siasatan,” katanya ketika ditemui selepas serbuan tersebut di sini malam tadi.

Semasa serbuan, berlaku kekecohan apabila dua anak suspek termasuk seorang yang bekerja sebagai guru cuba menghalang pegawai SPRM membawa keluar suspek berusia 50 tahun itu.

Menurut sumber, pihak SPRM dijangka memanggil ahli-ahli keluarga lelaki terbabit bagi membantu siasatan kes termasuk status dua buah kereta jenis Honda dan Volvo yang ditemui di rumah itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan,” katanya.

Timbalan Pengarah SPRM negeri, Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi hari ini mengesahkan serbuan itu dilakukan pihaknya tetapi enggan mengulas lanjut.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close