Pusat Jagaan Kanak-kanak Dikunci Ekoran Kematian Dua Bayi

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri mengambil tindakan lak atau mengunci sebuah pusat asuhan di Taman Permata, Hulu Klang, ekoran kematian dua bayi lelaki di bawah jagaan pusat asuhan tersebut baru-baru ini.

Pengarah JKM negeri, Nik Omar Nik Ab. Rahman berkata, pusat asuhan itu akan dikunci selama 21 hari bermula hari ini dan pihaknya akan menyiasat secara terperinci sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, premis berkenaan tidak pernah berdaftar dengan JKM malah ia juga tidak memenuhi spesifikasi atau syarat penubuhan seperti yang termaktub di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) 1984.

“Premis pusat asuhan itu tidak menepati beberapa piawaian mengikut Seksyen 8 Akta Taska 1984 iaitu tidak cukup pengasuh, tiada kelulusan agensi teknikal, tiada aktiviti yang merangsang perkembangan kanak-kanak, tidak dilengkapi perabot serta permainan kanak-kanak dan tidak diselenggara dengan baik.

“Hasil siasatan mendapati taska berkenaan hanya mempunyai seorang pengasuh sepenuh masa dan seorang pengasuh sambilan bagi menjaga 13 kanak-kanak di premis berkenaan dan ini jelas melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Pada 19 Januari lalu, dua bayi lelaki, Muzaffar Mohd. Faizal, tiga bulan dan Arif Amsyar Ruhi Budiman, tujuh bulan yang ditinggalkan di pusat asuhan terbabit meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman baru-baru ini mengesahkan kejadian itu bukan berpunca daripada jangkitan kuman berdasarkan keputusan awal pemeriksaan histopatologi terhadap sampel tisu paru-paru dan beberapa organ lain bayi berkenaan.

Nik Omar berkata, kedua-dua mangsa telah didaftar masuk di Pusat Jagaan Adila Kids yang didaftarkan di bawah JKM berkuatkuasa Disember 2011.

“Bagaimanapun, pengusaha yang sama didapati membuka sebuah lagi pusat asuhan di premis bersebelahan pusat jagaan berkenaan tanpa mendapat sebarang kebenaran JKM untuk menjaga kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah termasuk kedua-dua mangsa,” jelasnya.

Tambah beliau, terdapat kemungkinan ibu bapa dan penjaga di pusat jagaan itu tidak diberitahu anak mereka dihantar ke premis bersebelahan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Nik Omar berkata, pihaknya turut mengeluarkan notis amaran tindakan mengunci sebuah pusat asuhan di Seksyen 8 di sini selepas seorang bayi koma apabila dipercayai terjatuh ketika ditinggalkan di pusat asuhan berkenaan.

Tambahnya, bayi lelaki berkenaan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan siasatan awal pihaknya mendapati pusat asuhan berkenaan juga didapati beroperasi secara haram.

“Kami akan menyiasat kemungkinan wujudnya kecuaian pusat asuhan ketika mengendalikan operasinya,” tegas beliau.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close