Peniaga & Tiga Ahli Keluarga Dibunuh Kejam

Seorang ahli perniagaan dan tiga ahli keluarga yang terdiri daripada ibunya dan dua anak menjadi mangsa pembunuhan kejam di kediaman mereka di Lorong 13B1, RTM Road, di sini hari ini.

Dalam tragedi antara pukul 7 dan 7.30 pagi, mayat mangsa ditemui dengan kesan kecederaan parah dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam selain dihentak dengan objek tumpul.

Polis setakat ini menolak rompakan sebagai motif pembunuhan berkenaan kerana rumah tersebut tidak digeledah dan tiada barang yang dilaporkan hilang.

Mangsa ialah Ling Tong Hock, 36, ibunya, Leong Nyuk Lan, 76, seorang anak lelakinya, David Ling Chei Qi, 10, dan anak perempuan, Amy Ling Zi Jiun, 7.

Seorang lagi anak mangsa, Kelvin Ling Chei You yang berusia lapan tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu berikutan kecederaan parah di kepala.

Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Lau Heng Soon berkata, isteri mangsa, Li Xiao Lan, 28, pula berjaya melarikan diri melalui tingkap apabila pintu bilik tidurnya ditendang penjenayah dari luar.

“Saya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya tampil membantu siasatan.

“Saya datang ke sini bagi melihat apa bantuan yang boleh kita berikan dan jika perlu pasukan forensik dari Kuching atau Bukit Aman akan dibawa ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafie Ismail, di sini hari ini.

Heng Soon meminta kerjasama media supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.

Beliau berkata, masyarakat juga tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan di Sibu kerana keadaan adalah terkawal.

Katanya, pada tahun lepas, hanya berlaku dua kes pembunuhan di sini dengan satu daripadanya telah diselesaikan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close