PAS Umum 5 Manifesto Baru

Pas Terengganu mengumumkan lima manifesto baru, selain mengekalkan lima yang lama sebagai taruhan memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), tidak lama lagi.

Pesuruhjaya Pas Tereng­ganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, pertambahan dalam manifesto baru ini ialah berhubung isu royalti minyak yang sudah berlarutan sehingga 13 tahun akan diperjuangkan, supaya dapat mengembalikan hak royalti kepada Terengganu.

“Bagaimanapun, Pas dan Pakatan Rakyat (PR) akan memperjuangkan hak ini de­mi rakyat berteraskan moto Te­rengganu Maju, Islam Ber­daulat dan Negeri Berke­bajikan,” katanya pada sidang media Pejabat Pas Kuala Berang di sini semalam.

Seterusnya, manifesto lain ialah pengambilan balik tanah rakyat yang terlibat dengan rumah kediaman kerajaan.

“Pas akan mengusahakannya dengan tapak gantian baru atau rumah penempatan ganti kepada pemilik terlibat kerana simpati dengan nasib mereka terlibat yang terumbang-ambing setelah tanah mereka diambil,” katanya.

Pas dan PR juga dalam manifesto barunya akan memberi bekalan air per cuma bagi 20 kubik meter pertama kepada pengguna do­mestik bermeter setiap bulan.

Begitu juga dengan isu kekurangan sekolah agama akan diatasi dengan menambah sekolah menengah agama negeri di setiap daerah serta memberi geran tahunan kepada sekolah agama rakyat dan pusat pengajian pondok.

“Pas akan mewujudkan semula institusi pengajian tinggi Islam milik negeri yang mengutamakan anak-anak Terengganu.

“Manifesto ini akan dilakukan secara berperingkat dan kemungkinan besar ada lagi penambahan sebelum PRU13,” katanya.

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, beliau yakin akan memenangi sekurang-kurangnya 17 kerusi kawasan.

“Kali ini Pas sasar kawasan yang belum menang. Mana kala di kawasan yang telah ‘dipegang’, kami akan bekerja keras untuk memperkukuhkan jentera masing-masing,” katanya lagi.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close