Meninggal Selepas Diserang Anjing Rottweiler

Dua minggu selepas digigit seekor anjing jenis Rottweiler, seorang wanita di Taman Bunga Raya, Mantin di sini, akhirnya menghembuskan nafas terakhir, kelmarin.

S. Saraswati, 46, disahkan meninggal dunia ketika mahu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Mantin (KKM), Khamis lalu selepas mengadu sesak nafas kepada ahli keluarganya.

Menurut sumber, mangsa baru sahaja dibenarkan keluar daripada Hospital Tuanku Jaafar, di sini selepas dimasukkan ke hospital terbabit pada 29 Disember lalu bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan dialami.

Menurutnya, pada 29 Disember lalu, kira-kira jam 10 malam, mangsa dan anaknya, V. Letchumi, 23, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas menziarahi ahli keluarganya yang tinggal di taman perumahan sama.

“Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba seekor anjing Rottweiler menyalak lalu mengejar mangsa yang sedang menaiki motosikal.

“Akibat panik, mangsa gagal mengawal motosikalnya menyebabkannya dia terjatuh, lalu anjing terbabit menyerang dan menggigit mangsa dan anaknya,” katanya.

Katanya, mangsa yang cedera parah di kaki kemudiannya berjaya diselamatkan ahli keluarga dan menghantarnya ke hospital.

“Selepas empat hari berada di hospital, dia dibenarkan pulang ke rumah, namun diminta ke KKM untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Tapi Khamis lalu, keadaannya bertambah teruk dan ahli keluarganya membawa mangsa ke klinik itu semula selepas dia mengalami sesak nafas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusof Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, polis akan menyiasat kejadian itu termasuk dakwaan ahli keluarga bahawa mangsa meninggal dunia akibat serangan anjing berkenaan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close