Lelaki Ditembak & Dilanggar

Ibarat aksi ganas di dalam sebuah filem, seorang lelaki bukan sahaja ditembak di bahu kirinya malah turut dikejar sejauh 300 meter sebelum mati dirempuh sebuah kenderaan ketika melarikan diri di Taman Desa Waterpark di sini malam tadi.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 35 tahun memandu kereta bersendirian keluar dari sebuah restoran pukul 9.20 malam, sebelum suspek yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) muncul lalu melepaskan tembakan.

Dalam keadaan berlumuran darah, mangsa nekad keluar dari keretanya iaitu jenis Honda dan berlari sejauh 300 meter ke jalan utama, disyaki untuk meminta bantuan sambil dikejar kenderaan suspek dengan melawan arus.

Bagaimanapun usaha mangsa gagal apabila dirempuh sebuah kenderaan lain yang gagal mengelak lelaki itu manakala kenderaan suspek berjaya meloloskan diri.

Siasatan awal polis mendapati motif kejadian mempunyai kaitan dengan hutang dan perjudian.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, mangsa mengalami kecederaan parah di kepalanya akibat hentakan kuat perlanggaran itu dan juga terdapat kesan tembakan di bahu kirinya.

“Polis juga menemui dua kelongsong peluru jenis Revolver .38 di lokasi pertama kejadian iaitu di kawasan kereta mangsa, selain lima das tembakan di tepi tingkap penumpang sebelah pemandu.

“Kejadian dipercayai disaksikan beberapa individu dan kita meneliti rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Khairi memberitahu, pihaknya meminta bantuan orang ramai yang melihat kejadian itu agar tampil memberi maklumat serta pemandu kenderaan yang mungkin terlanggar mangsa.

“Polis percaya kejadian itu dilakukan oleh dua suspek yang berada dalam kenderaan. Motif kejadian dan identiti mangsa masih disiasat.

“Pemeriksaan awal polis menemui sekeping kad pengenalan bagaimanapun ia belum disahkan milik mangsa,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close