Kodan RL6 Rupanya Bekas Kumpulan Flava & Pengacara

Menerusi program Raja Lawak (RL) musim pertama, salah seorang peserta yang sudah dikenali sebelum pertandingan berkenaan, Helmi Gimmick bagaimanapun gagal membawa pulang gelaran juara yang yang akhirnya menjadi milik mutlak Yus.

Persamaan turut berlaku di dalam program Raja Lawak 6 (RL6) apabila menampilkan seorang peserta solo yang berstatus artis iaitu Kodan.

Bagi yang tidak mengenali Kodan, peserta solo ini pernah menjadi penyanyi bersama kumpulan Flava dalam program Gangstarz yang popular melalui lagu berjudul Kenapa Singgah Kalau Tak Masuk.

Malah, Kodan yang sebelum ini dikenali dengan nama Shahdan Salleh pernah menyertai program Pilih Kasih dan menjadi pengacara program Aktif 5 di iTV Saluran 180 di Astro.

“Ramai orang gelar saya gila program realiti TV. Namun, saya bukanlah begitu.

“Jikalau ada orang bertanyakan kerja sebenar, saya lebih selesa menjawab sebagai seorang penghibur. Saya juga tidak kisah jika orang nak panggil saya penyanyi, pelakon, pengacara atau apa sekalipun.

“Terus-terang, ini cubaan saya untuk menjadi pelawak. Bukan senang nak jadi pelawak. Saya menganggap pelawak adalah golongan cendiakawan kerana sering saja mempunyai idea kreatif untuk membuatkan orang berjenaka,” katanya.

Dalam pada itu, tanda tanya adakah penyertaan Kodan dalam RL6 ini bakal menerima nasib yang sama seperti Helmi Gimmick semuanya akan terjawab bermula Jumaat ini iaitu tanggal 13 Januari ini, menerusi Astro Warna (saluran 132), jam 10 malam.

Selain Kodan, 11 peserta RL6 yang lain ialah Kumpulan Zero, Skema, Cuit, 2YOL, GMAN, Albob, Shiro, Riki, Selak, Ketupat dan Kumpulan King.

Sementara itu, RL6 memperkenalkan formula baru dengan memperkenalkan Cif Besar dan Cif Kecik yang menampilkan Ahmad Idham sebagai Cif Besar.

Jawatan Cif Kecik pula digalas oleh Yus, Tauke dan Angah Raja Lawak.

Kewujudan dua jawatan baru ini bukan sekadar untuk berkongsi nasihat dan memberikan galakan motivasi serta tunjuk ajar kepada peserta di bawah jagaan masing-masing tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada mereka.

Nasib para peserta akan ditentukan sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100% undian penonton melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan tersingkir.

RL6 sekali lagi menyaksikan gandingan mantap Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz atau Johan dan Mohd Razizan Abd Razak atau Zizan yang telah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara di Gelanggang Raja Lawak pada setiap minggu.

Pihak Astro juga amat berbesar hati untuk mengumumkan kehadiran Sinar FM selaku radio rasmi dan turut disokong oleh THR Gegar serta portal murai.com.my selaku portal hiburan rasmi untuk musim ini.

– Murai

Facebook Comments

Comments are closed.

Close