Keputusan Liga Super 21 Januari 2012

Terengganu dan Perak berjaya mencipta kejayaan bagi merapatkan jurang untuk cuba memintas pendahulu liga, Kelantan dalam saingan Liga Super selepas mengalahkan lawan masing-masing malam tadi.

Pertembungan pasukan abang-adik menyaksikan Terengganu meranapkan rekod tanpa kalah T-Team dengan keputusan 2-1 pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pemain T-Team, Zairo Anuar Zalani terlebih dahulu mengejutkan Terengganu dengan jaringan awal pada minit ke-12 namun aksi pemain import skuad Penyu,

Francis Doe dari Liberia nyata menunjukkan belang tersendiri apabila selesa meledak dua gol pada minit ke-21 dan 61.

Perak juga terus mencatat kemenangan ketiga pada perlawanan keempat selepas mencatatkan kemenangan 1-0 ketika menentang Johor FC di Stadium Pasir Gudang.

Gol tunggal skuad Seladang dijaringkan oleh Muhd Shahrom Ab Kalam (min-77) dan seterusnya menjadikan skuad bimbingan Norizan Bakar berada di tangga ketiga dengan mengutip sembilan mata bersama Terengganu dengan perbezaan jaringan.

Negeri Sembilan pula memintas kedudukan Felda United apabila jaringan tunggal pemain Hoben Jang Hoben, Shahurain Abu Samah pada minit ke-53 untuk mencatat 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dengan kemenangan itu, Negeri Sembilan naik ke tangga kelima untuk berkongsi tujuh mata bersama T-Team (keempat) dan Lions XII (keenam).

Di Kota Kinabalu, Sabah gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri apabila jaringan tunggal Hariss Harun (min-19) meranapkan impian Sabah untuk mengutip mata penuh di Stadium Likas.

Pasukan tercorot liga, Kuala Lumpur berjaya mencari mata pertama walaupun seri 1-1 kepada Selangor PKNS di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Selangor PKNS yang bertandang ke gelanggang lawan terpaksa bekerja keras untuk berada di depan menerusi Mohd Fauzan Dzulkifli pada babak kedua (min-74) sebelum Muhammad Afiq Azmi menyelamatkan maruah tuan rumah untuk gol penyamaan pada minit ke-86.

Selangor mencatat keputusan seri tanpa jaringan kepada Sarawak di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, pada satu aksi Liga Perdana yang ditunda semalam menyaksikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tumpas mengejut buat kali pertama kepada pasukan berstatus kelab, Sime Darby 1-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pasukan ATM terlebih dahulu selesa berada di hadapan menerusi jaringan Hairuddin Omar seawal minit kesembilan namun dua tonggak import Sime Darby dari Liberia, Sengbah Kennedy dan Patrick Wleh masing-masing pantas membantu pasukannya menjaringkan gol pada minit ke-24 dan 41. – Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close