Jenazah Izwan Pilus Selamat Dikebumikan 11 Pagi Tadi

Jenazah penyanyi dan pengacara Izwan Pilus yang meninggal dunia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur semalam akibat jangkitan kuman pada darah selamat dikebumikan di kampung halamannya di Jasin di sini, hari ini.

Izwan atau nama sebenarnya, Khairil Izwan Pilus, 33, dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Palembang Nyalas Kampung Gubah, Jasin kira-kira jam 11 pagi.

Pengebumian tersebut turut dihadiri ramai artis tanah air termasuk peserta Akademi Fantasia (AF) iaitu Hafiz dan Hakim serta tenaga pengajar AF, Siti Hajar.

Sementara itu, adik Allahyarham Khairil Azam Pilus atau lebih dikenali sebagai Aril yang merupakan bekas peserta AF7 berkata, pemergian abangnya begitu dirasai malah seolah-oleh seperti suatu mimpi.

“Sudah tiga tahun saya tinggal bersama arwah di Ampang sejak mula menceburi bidang seni dan sudah tentu rindu dengan gurau senda arwah…saya juga terkilan kerana tidak sempat merakamkan duet bersamanya walaupun perancangan itu ada,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Allahyarham yang merupakan bekas finalis Bintang RTM 2004 dan pernah merakamkan album Erti Kasih pada 2006 dimasukkan ke Hospital Ampang pada awal pagi semalam selepas mengalami sesak nafas.

Keadaan Izwan semakin kritikal pada waktu petang sebelum beliau meninggal dunia di hospital tersebut pada pukul 6.15 petang. – Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close