Himpunan 901 Bebaskan Anwar Di Benarkan Pihak Polis

Polis membenarkan pihak yang merancang mengadakan Kempen Bebaskan Anwar 901 Isnin ini berhimpun di tempat letak kereta awam Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Perkara itu dicapai pada pertemuan antara polis dan rombongan PKR hari ini.

Timbalan Preside PKR, Azmin Ali berkata pertemuan bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh hari ini menunjukkan reaksi positif.

“Saya amat berpuas hati dengan pertemuan pada hari ini, merea telah memberikan keputusan positif,” kata Azmin.

Beliau akan mengadakan sidang media petang ini bagi memaklumkan perkembangan lanjut.

“Keterangan lebih lanjut mengenai lokasi dan syarat-syarat lebih terperinci akan dimaklumkan pada sidang media di ibu pejabat PKR, jam 3.30 petang ini,” katanya ketika ditemui dihadapan ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata persetujuan itu dicapai selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Azmin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini.

“Penganjur mesti memastikan perhimpunan itu dijalankan secara aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Azmin bertemu dengan Mohmad pada 10 pagi ini.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberi kelonggaran kepada penyokong Anwar untuk mengadakan perhimpunan di lokasi lain tetapi bukan di kawasan Kompleks Mahkamah.

Sehingga semalam sebanyak 535 laporan polis dibuat di seluruh negara membantah perhimpunan anjuran PKR itu pada Isnin depan oleh pelbagai pihak termasuk parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu Bernama melaporkan bahawa wakil daripada 12 NGO dari Selangor dan Putrajaya hari ini membuat 45 laporan polis bagi membantah Kempen Bebaskan Anwar 901.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia Mohd Jurit Ramli berkata mereka membuat 45 laporan polis bagi menolak keras perhimpunan haram itu yang jelas satu penghinaan terhadap sistem perundangan negara.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia Datuk Ab Malek Ranting berkata pihaknya berasa dukacita dengan tindakan pembangkang yang mahu mengadakan perhimpunan tersebut.

“Kami berharap agar pihak polis dapat mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam perhimpunan itu nanti,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close