Gadis Maut Dihempap Pokok

Seorang gadis maut selepas kereta dinaiki bersama rakan lelakinya dihempap sebatang pokok dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, di Persimpangan Jalan Gertak Merah-Jalan Dato’ Menteri, di sini, semalam.

Mangsa, Sintayana Abas, 25, yang juga pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pontian, dipercayai dalam perjalanan dari Plaza Larkin Sentral untuk ke institut kemahiran berkenaan selepas pulang dari rumah keluarganya.

Ibu mangsa, Tuminah Abu Yamin berkata, anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik itu pulang ke rumahnya di Felda Bukit Aping, Kota Tinggi kerana bercuti dan tidak menyangka tragedi itu menimpa anaknya.

“Makcik mendapat panggilan daripada kakaknya, Kartini Abas, memaklumkan Sintayana kemalangan.

“Namun ketika itu, dia tidak memaklumkan bahawa adiknya itu telah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Rumah Mayat, Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum bertolak dari rumah, mangsa ada memberitahu, rakan lelakinya yang dikenali sebagai Farhan akan menghantarnya ke tempat dia belajar, sejurus tiba ke Johor Bahru dengan menaiki bas.

“Mereka (Sintayana dan Farhan) memang sudah lama berkawan, malah dia pernah memaklumkan saya dan ayahnya, Abas Jantan, untuk berkahwin selepas tamat belajar,” katanya.

Sementara itu, Kartini ketika ditemui berkata, mangsa sempat pergi ke rumah semua adik-beradiknya termasuk yang tinggal di Kuala Lumpur ketika dia bercuti baru- baru ini.

“Saya orang pertama yang mendapat berita tentang kematian Sintayana daripada rakan sekampung.

“Rakan berkenaan mengetahuinya daripada seorang saudara yang tinggal di sini. Saya yang mendapat tahu berita itu terus menghubungi ibu termasuk ahli keluarga lain,” katanya.

Jenazah akan dikebumikan di tanah Perkuburan Felda Bukit Aping, Kota Tinggi, manakala Farhan yang cedera parah di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner, Zai­nuddin Yaacob mengesahkan kejadian terbabit dan mengklasifikasikannya sebagai kes mati mengejut (SDR).

Orang ramai atau saksi kejadian kemalangan terbabit diminta untuk menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close