Fifi Ramadhani Masih Trauma

Kanak-kanak berusia 10 tahun, Fifi Ramadhani Safruddin, yang dijadikan tebusan selama enam jam oleh seorang lelaki di rumahnya semalam, masih trauma dengan tragedi yang menimpanya.

Ibu mangsa, Santi Sugiono, 29, berkata, anaknya juga tidak dapat tidur lena apabila seringkali terjaga malam tadi.

“Fifi juga sekarang kurang bercakap. Tetapi saya bersyukur sangat kerana dia masih selamat.

“Esok dia akan bertemu doktor pakar. Cuma sekarang ini, doktor beritahu jangan bercakap mengenai kejadian semalam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian Online di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian semalam, Fifi berjaya diselamatkan kira-kira jam 4.09 petang semalam.

Mangsa dapat diselamatkan setelah polis melepaskan empat das tembakan mengenai lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai rusuk kiri lelaki berkenaan untuk menyelamatkan mangsa.

Fifi ketika ditemui hanya mendiamkan diri sambil membaca majalah yang dibawa oleh ahli keluarganya.

Dia hanya menganggukkan kepala dan hanya tersenyum apabila ditanya mengenai keadaan dirinya.

Dalam pada itu, menurut Santi, doktor turut menasihatkan agar dia sekeluarga tidak tinggal di rumah itu lagi.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mempunyai saudara-mara lain dan mungkin akan mengecat semula rumahnya.

“Saya di sini sehelai sepinggang. Saya nak pindah ke mana. Mungkin kami akan cat rumah itu dan berharap Fifi akan lupakan kejadian ini walaupun saya tahu ia mengambil masa lama,” katanya sambil sesekali mengesat air mata.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close