Dua Remaja 16 Tahun Ditahan Kes Simbah Asid

Dua remaja lelaki ditahan, bagi membantu pihak polis berhubung kes simbah asid ke atas seorang duda di Kampung Tendong, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, kedua-dua suspek berusia 16 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas bagi tahanan reman bermula semalam sehingga 24 Januari ini.

Menurutnya, suspek yang masih bersekolah, dipercayai diupah mendatangkan kecederaan kepada duda berkenaan.

“Sebelum ini, pihak polis menahan dua wanita dipercayai bekas isteri duda terbabit, di dua tempat berasingan dekat Tumpat, 16 Disember lalu.

“Ini menjadikan jumlah penahanan kepada empat suspek dan kita percaya dapat menyelesaikan kes tersebut dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kejadian Sabtu lalu, melibatkan seorang mangsa, Wan Hussin Wan Yusoff, 52, cedera parah di muka akibat disimbah sejenis cecair dipercayai asid.

Haliludin berkata, mangsa dirawat di unit rawatan rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, dilaporkan stabil.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

“Kita menasihati semua, agar tidak menjadikan jenayah sebagai satu jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan yang berlaku,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close