Dua Penyamun Sempat Makan Nasi Sebelum Larikan Diri

Dua penjenayah bukan sahaja menyamun seorang gadis dan melarikan gelang tangan miliknya bernilai RM800 malah sempat ‘mengisi perut’ sebelum melarikan diri dari rumah mangsa di Kampung Bukit Payong, Besut semalam.

Dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, mangsa yang berusia 21 tahun berseorangan di dalam rumah sebelum didatangi seorang suspek manakala rakannya menunggu di luar.

gambar hiasan

gambar hiasan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, suspek itu lalu mengacukan sebilah parang di leher mangsa dan mengugutnya agar menyerahkan barangan kemas.

“Akibat ketakutan, gadis itu menyerahkan kepada suspek gelang tangannya. Pada masa yang sama, suspek meminta mangsa menyediakan hidangan nasi.

“Semasa suspek makan, mangsa bertindak melarikan diri ke rumah jiran untuk mendapatkan pertolongan.

“Jiran gadis itu menghubungi bapa mangsa yang kemudian melaporkan kepada polis. Namun, semasa polis tiba di rumah, suspek dan rakannya telah menghilangkan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Manoharan berkata, bagaimanapun bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang daripada suspek tersebut berusia 21 tahun di tepi jalan di kampung itu pukul 8 malam, sebelum menahan rakannya berusia 29 tahun tidak jauh dari situ.

“Suspek kemudian membawa polis ke rumahnya dan polis menemui parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” ujarnya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati gelang emas yang disamun itu telah diserahkan kepada rakan wanita suspek untuk dijual di sebuah kedai emas di Jerteh.

Berikutan itu, katanya, polis turut menahan jurujual emas terbabit kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

“Jurujual itu maklumkan telah serah kepada taukeh kedai tersebut. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan,” katanya sambil memberitahu akan menahan taukeh kedai emas terbabit untuk membantu siasatan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close