Ditetak Berulang Kali Hingga Kaki Hampir Putus

Macam dalam filem Amuk, itulah yang dapat disimpulkan oleh sebahagian pelanggan yang sedang menikmati sarapan di sebuah restoran di Jalan Raja Uda di sini awal pagi semalam apabila mereka menyaksikan seorang remaja hampir maut ditetak oleh tiga lelaki berparang.

Kejadian pada jam 4.15 pagi itu bukan sahaja mengejutkan bahkan dilihat amat menyedihkan kerana mangsa ditetak berulang kali di bahagian dua belah kakinya hingga menyebabkan kaki kanannya hampir putus.

Lebih dahsyat, tiga suspek berkenaan masih sempat memastikan mangsa mereka itu benar-benar cedera parah sebelum berhenti menetaknya dan selamba meninggalkan lokasi kejadian tanpa sedikit pun merasa belas kasihan melihat mangsa mengerang kesakitan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias yang dihubungi berkata, mangsa, remaja berusia 20 tahun itu minum berseorangan ketika diserang oleh tiga lelaki bersenjatakan parang yang tiba-tiba muncul menaiki dua kereta.

“Tiga penyerangnya dikatakan terus meluru ke arah mangsa yang duduk di dalam restoran berkenaan sambil menetaknya bertalu-talu menggunakan tiga bilah parang yang dibawa mereka tanpa sepatah pun mengeluarkan suara.

“Pelanggan lain yang berada di dalam restoran berkenaan tidak berani menolong malah mengambil keputusan lari menyelamatkan diri masing-masing selepas mendapati tiga lelaki berkenaan sukar dikawal dan bertindak kejam seolah-olah dirasuk,” katanya.

Beliau berkata, suspek hanya berhenti menetak selepas mendapati mangsa yang rebah mengalami kecederaan parah termasuk hampir putus kaki kanannya sebelum selamba berjalan menuju ke kereta yang diletakkan di hadapan restoran dan berlalu pergi.

“Mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah dan separuh sedar kemudiannya dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya oleh orang ramai.

“Pihak kita difahamkan mangsa masih belum sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal kerana mengalami kecederaan parah dan kehilangan darah yang banyak,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan parah dan berdasarkan siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungki-nan kejadian itu bermotifkan balas dendam.

Zulkifli turut meminta saksi yang melihat kejadian itu tampil membantu pihaknya mengesan suspek terlibat dengan menghubunginya terus atau membuat laporan di mana-mana balai polis terdekat.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close