Dipukul Sebab Tak Bayar Wang Perlindungan RM555

Tiga pelajar sebuah kolej swasta berusia 19 tahun cedera di kepala dan badan selepas diserang sekumpulan 15 hingga 20 samseng bersenjatakan kayu dan topi keledar berhampiran kawasan kolej berkenaan di Taman Maluri, Cheras, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kumpulan terbabit turut mengugut untuk mencederakan mereka sekiranya gagal melunaskan wang perlindungan sebanyak RM555 sebelum jam 12 tengah malam.

Bimbang dengan ugutan berkenaan, semua pelajar itu membuat laporan di Balai Polis Cheras.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila tiga pelajar terbabit yang sedang duduk berhampiran kawasan kolej berkenaan didatangi sekumpulan samseng.

“Mereka bersenjatakan parang dan topi keledar itu terus menerpa ke arah mangsa sebelum memukul mereka. Tiga pelajar itu gagal melarikan diri kerana sudah dikepung.

“Ketika dipukul, tiga mangsa itu hanya mampu untuk menutup kepala masing-masing menggunakan dua tangan,” katanya.

Sumber berkata, selepas memukul mangsa, kumpulan terbabit mengarahkan tiga pelajar itu memberikan wang perlindungan sebanyak RM555 kepada mereka.

“Mereka mengugut untuk mencari dan memukul mereka jika gagal membuat bayaran berkenaan itu,” katanya.

Katanya, kumpulan terbabit mengarahkan tiga pelajar itu menyerahkan wang kepada mereka di tempat letak kereta kolej berkenaan.

Selepas ditinggalkan kumpulan terbabit, mangsa yang cedera bergegas membuat laporan di balai polis berhampiran.

Tiga pelajar terbabit cedera di kepala dan badan kemudiannya dirujukkan ke hospital di kawasan berkenaan bagaimanapun hanya dirawat sebagai pesakit luar.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close