Bot Bawa PATI Rempuh Bot Maritim Malaysia | Dua Maut

Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) rakyat Indonesia maut manakala 11 lagi parah apabila bot pancung mereka naiki terlanggar bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang meronda di Tanjung Pengelih, Kota Tinggi di sini, semalam.

Kejadian pukul 11.55 malam itu berlaku ketika bot pancung dinaiki 57 rakyat Indonesia yang berusia dalam lingkungan lima bulan hingga 49 tahun itu dipercayai cuba menyeludup masuk ke negara ini.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Adon Shalan berkata, semasa insiden, keadaan gelap menyebabkan bot pancung itu secara tidak sengaja terlanggar bot Maritim Malaysia.

Katanya, perlanggaran itu mengakibatkan kedua-dua mangsa yang berusia 27 dan 28 tahun mati di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dipercayai akibat terhantuk di bot mereka.

“Ketika membuat rondaan di perairan Tanjung Pengelih, bot Petir 11 milik kami dengan lima anggota tiba-tiba dilanggar bot pancung sepanjang 12 meter itu yang memiliki tiga enjin serta berkuasa 600 kuasa kuda, di bahagian kiri.

“Meskipun diarahkan berhenti bot itu terus memecut laju. Kami terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran ke udara sebelum bot pancung berkenaan berhenti,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Wilayah Selatan, di sini hari ini.

Tambahnya, sejurus ditahan, pihak Maritim Malaysia mendapati terdapat 44 lelaki, 12 wanita dan tiga kanak-kanak warganegara Indonesia berada di atas bot tersebut dan daripada jumlah itu, dua telah meninggal dunia manakala 11 lagi parah.

Beliau berkata, mayat dua lelaki itu dan 11 yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi manakala 44 yang lain termasuk tekong dan awak-awak dihantar ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia di sini untuk tindakan lanjut.

Menurut Adon, hasil siasatan juga mendapati empat daripada mereka mempunyai pasport sah.

“Siasatan sedang dijalankan daripada semua aspek mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang,” ujarnya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close