Bangunan Dan Kereta Di Conteng Pihak Tidak Bertanggungjawab

Lebih 10 kenderaan serta bangunan di sekitar daerah Kota Setar, Padang Terap dan Kubang Pasu di sini menjadi mangsa perbuatan vandalisme pihak tidak bertanggungjawab apabila diconteng dengan perkataan berunsur provokatif yang mengajak orang ramai ke perhimpunan haram Kempen Bebaskan Anwar 901, Isnin ini.

Perkataan seperti ‘UMNO Bodoh’, ‘Najib Turun’, ‘901 Jihad’, ‘Love Anwar’ ditulis di Bangunan Tunku di sini yang menempatkan pejabat Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Di kawasan Kubang Pasu, lebih 10 kereta dan lori dicat dengan warna hitam yang tertera ‘Anwar 901 Jom KL’.

Tandas awam dan tempat duduk di hentian bas di pekan itu turut menjadi mangsa conteng pihak tidak bertanggungjawab itu.

Pejabat UMNO Padang Terap, pusat beli-belah Plaza Angsana dan restoran makanan segera KFC selain dua buah bas henti-henti serta beberapa kereta turut diconteng dengan perkataan seperti itu menggunakan cat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Perbuatan vandalisme dikesan pagi ini oleh pengawal keselamatan yang bertugas dan saya rasa orang yang buat perkara ini adalah orang yang penakut.

“Sekiranya mereka mahu menyuarakan sebarang tentangan terhadap UMNO, mereka perlu datang secara bersemuka, bukannya dengan cara menconteng bangunan pada waktu malam,” ujarnya di sini hari ini.

Menurut beliau, UMNO Kedah percaya pihak yang melakukan perbuatan itu mahu melakukan provokasi terhadap parti berikutan keputusan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin ini.

“Perbuatan ini juga dipercayai dilakukan pihak sama yang turut menconteng Bangunan Tunku beberapa hari sebelum perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada tahun lalu di Kuala Lumpur.

“Kami menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut hasil laporan yang telah dibuat dan berharap mereka yang melakukan perbuatan ini dapat ditahan,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close