AJL-26 Penyertaan Terakhir Faizal Tahir?

Penyanyi Faizal Tahir nekad membuat keputusan untuk tidak lagi menyertai sebarang pertandingan nyanyian termasuklah Anugerah Juara Lagu pada tahun depan.

Penyanyi yang berjaya meraih tempat ketiga pada AJL26 pada malam Ahad itu berkata, sudah sampai waktunya untuk dia mengundur diri dari sebarang pertandingan dan lebih fokus dalam kerjaya seni muziknya.

“Bermula hari ini saya tidak akan menyertai mana-mana pertandingan nyanyian lagi termasuklah AJL pada tahun depan. Mungkin tahun ini merupakan AJL terakhir saya.

“Sudah tiba masanya saya merancang secara teliti mengenai karier dan keluarga. Kali ini, biar kekuatan muzik yang menentukan dimana tahap saya,” katanya yang ditemui selepas pertandingan AJL26, di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, Ahad.

Tambah Faizal, keputusan itu juga dibuat memandangkan jadual kerjaya seninya yang semakin padat dan ia juga memberi peluang kepadanya agar dapat membahagikan masa bersama keluarganya.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Karma itu menafikan keputusan tersebut dibuat disebabkan dia tidak pernah menjuarai AJL sejak menyertainya pada tahun 2007.

“Saya dah agak orang akan berkata begitu. Setiap anugerah yang diperoleh, itu adalah satu kejayaan yang cukup besar buat saya. Begitu juga dengan kemenangan saya hari ini (Ahad).

“Selain keluarga dan album, saya mempunyai misi lain yang perlu ditunaikan dimana saya sedang merancang untuk muncul dengan konsert sulung saya sendiri,” tegasnya.

Bagaimanapun, tambahnya, dia tetap akan hadir ke acara tahunan itu bagi memberi sokongan kepada rakan-rakan artis yang menyertai pertandingan tersebut.

Sementara itu, pada persembahannya menerusi lagu Karma dalam AJL26 malam Ahad, Faizal telah membuat gimik dengan membakar sebuah piano.

Ditanya, tidakkah dia risau sekiranya muncul kontroversi baru mengenai rasa kurang senang segelintir pemuzik tanah air mengenai gimiknya itu, Faizal tidak kisah jika ada yang mengkritik.

“Itu sekadar gimik. Bagaimanapun, saya harap hal tersebut tidak akan menjadi isu besar nanti,” selorohnya ringkas.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close