Zaiton Sameon – Lawak Sobri Melampau

SELEPAS seminggu isu dibangkitkan sepi, akhirnya Zaiton Sameon tampil bersuara dan meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Sobri anggota kumpulan Bawal Power yang memperlekehkan dirinya sewaktu tampil mengadakan persembahan selingan di majlis Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18), pada 12 Disember lalu.

Mengimbas apa yang berlaku di malam majlis itu, Sobri yang bertanding dalam rancangan Maharaja Lawak Mega bersama Bob Kuman, tampil di pentas sebagai Zaiton.

Apa yang dipersembahkan Sobri pada malam itu dianggap sangat keterlaluan kerana menggambarkan Zaiton dalam keadaan tidak waras. Selingan itu tidak disiarkan secara langsung, tetapi hanya di kalangan penonton di Stadium Putra, Bukit Jalil, tempat berlangsungnya AIM18.

Bagaimanapun, ia mendapat perhatian kerana tindakan Sobri itu disifatkan keterlaluan dan menjatuhkan maruah Zaiton. Ia dipaparkan dalam akhbar mingguan dan dibalas mereka dalam program Maharaja Lawak Mega hingga ditegur seorang juri, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan kerana menggunakan program pertandingan itu untuk membalas dendam kepada pihak lain.

Zaiton yang ditemui dalam pertemuan khas baru-baru ini, menganggap tindakan Sobri itu menjatuhkan maruahnya dan dibimbangi memberikan kesan kepada kerjaya seninya.

Penyanyi lagu Menaruh Harapan dan Serangkai Mawar itu menjelaskan rasa kecewanya dengan apa yang dibuat pelawak itu dan menyifatkan sebagai sesuatu yang sangat memalukan dan boleh menjatuhkan maruah dan kerjaya seninya.

“Dia berlawak tak pakai otak ke? Sampai hati dia buat saya macam ini.
Masalahnya, mengapa dia memilih Zaiton Sameon dan menjadikan keadaan diri dan kesihatan saya sebagai bahan,” katanya.

Jelas Zaiton, dia menerima banyak maklum balas negatif termasuk yang disiarkan peminat dalam laman sosial. Tidak kurang ada yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Sobri itu.

“Apa yang dilakukan mereka itu sudah tentu memberikan implikasi buruk. Ia menjatuhkan reputasi saya sebagai penyanyi. Apabila dia berbuat demikian sudah tentu orang akan ingat, memang saya masih kurang sihat dan tidak mampu menyanyi.

“Akibatnya, selepas ini orang takut hendak memanggil saya menyanyi. Sedangkan saya masih mampu dan selalu saja dijemput untuk mengadakan persembahan. Saya tidak ada masalah untuk menghiburkan orang ramai,” katanya.

Apabila keadaan kesihatannya dijadikan bahan lawak, kata Zaiton apa yang dibimbangi adalah tanggapan dan rasa kurang yakin orang ramai terutama promoter terhadap kemampuannya untuk menyanyi.

“Jangan ingat sekarang ini saya hanya duduk rumah goyang kaki. Saya masih perlu bekerja untuk mencari sesuap nasi. Malah, saya masih aktif dan banyak mendapat undangan mengadakan persembahan. Saya sihat dan masih mampu menyanyi dengan baik.

“Apa yang dilakukan Sobri itu saya sifatkan sangat melampau. Umpama memandang rendah kepada orang seperti saya. Saya tidak sebodoh itu. Pesan saya, jangan sesekali cuba menabur pasir dalam periuk nasi saya,” katanya.

Apabila ditanya adakah dia bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang, jelas Zaiton, pada peringkat awalnya dia punya niat untuk berbuat demikian.

“Bagaimanapun, selepas difikirkan saya melupakan niat asal itu kerana saya fikirkan kita sesama artis mahu cari makan. Bagaimanapun, saya mahu memberikan peringatan kepada mana-mana pihak jangan diulangi apa yang telah dilakukan Sobri dengan melakukan lawak bodoh dan merendah-rendahkan kerjaya seni saya,” katanya.

Menceritakan mengenai kerjaya seninya, jelas Zaiton dia baru saja selesai menjalani rakaman lagu terbaru yang didendangkan bersama Adam Ahmad. Waktu sama, dia turut menyanyikan satu lagu baru.

“Lagu baru ini akan diterbitkan dalam album khas yang turut menghimpunkan lagu popular saya sebelum ini antaranya Menaruh Harapan dan Serabut Serangkai Mawar.
Saya mengharapkan ia mampu menghilangkan rindu peminat kepadanya. Dan album yang dihasilkan akan mendapat sambutan sebagai tanda sokongan untuk dia terus aktif sebagai penyanyi,” katanya.

Beralih kepada soal filem Zaiton yang mengangkat kisah hidupnya, kata Zaiton dia diberitahu produksi bahawa kerja-kerja penggambaran sudah pun selesai dijalankan dan kini mereka sedang dalam proses suntingan.

“Saya berasa bangga kerana ada pihak mengambil inisiatif untuk mengangkat kisah hidup saya dalam filem. Ia secara tidak langsung saya anggap sebagai satu penghargaan dan semoga apabila ditayangkan kelak ia akan mendapat sambutan dari peminat setia,” katanya.

– Metro

Facebook Comments

Incoming search terms:

  • sobri raja lawak (15)

Comments are closed.

Close