Wanita Hampir Jadi Mangsa Rogol

Seorang wanita berusia 35 tahun melalui detik cemas apabila diserang dua lelaki yang mengacukan pisau dan memaksanya menaiki sebuah pacuan empat roda.

Wanita terbabit yang bimbang dicederakan menaiki kenderaan itu sebelum dibawa lari.

Gambar hiasan

Gambar hiasan

Sumber berkata, dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, mangsa yang tinggal di sebuah pangsapuri berhampiran Pandan Indah, di sini, baru saja meletakkan kenderaan sebelum dihampiri sebuah kenderaan lain.

“Mangsa terkejut sebaik seorang lelaki turun dan mengacukan pisau” katanya.

Menurutnya, mangsa dipercayai mahu dibawa ke kawasan lain.

“Suspek cuba merogol mangsa di dalam kenderaan berkenaan namun mangsa meronta-ronta dan menjerit ketakutan.

“Suspek menumbuk dan menampar mukanya serta memberi amaran supaya berdiam sekiranya tidak mahu dicederakan dan dirogol,” katanya.

Beliau berkata, beberapa jam kemudian suspek memberhentikan kereta dan mencampak mangsa di kawasan Taman Melawati, di sini.

Mangsa yang cedera di muka dan badan menghubungi kakaknya sebelum dibawa ke hospital serta membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close