Tengkorak Buruh Binaan Pecah Dipukul Rakan

Seorang buruh binaan warga Myanmar ditemui mati dalam keadaan tengkorak kepalanya pecah dan telinga kanannya hampir putus di sebuah rumah kosong di Jalan Lengkok 2, Relau, semalam.

Mayat Kyi Moe Lwin yang juga dikenali sebagai Asraf, 32, dijumpai terbaring berlumuran darah di atas tempat tidurnya kira-kira jam 11.30 pagi oleh sekumpulan rakan sekerja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai dipukul oleh seorang rakan sebiliknya yang juga buruh kontrak di tempat yang sama.

Menurutnya, mangsa dan suspek yang baru sebulan bekerja di situ dikatakan sering bertikam lidah sejak akhir-akhir ini. Kedua-duanya dalam proses pemutihan untuk dihantar balik ke negara asal.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipukul dengan senjata tumpul di bahagian kepala sehingga menyebabkan tengkorak kepalanya pecah selain telinga kananya hampir putus.

“Pemeriksaan polis di tempat kejadian juga menemui satu tukul besi yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa sebelum melarikan diri,” katanya ketika ditemui media di tempat kejadian di sini semalam.

Zahruddin berkata, sehingga kini polis masih lagi memburu rakannya yang dikenali sebagai Basyar berusia 27 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara suspek dan mangsa.

“Kita sudah memperoleh identiti suspek yang dipercayai melarikan diri ke Bukit Mertajam,” katanya.

Zahruddin berkata, mayat mangsa di bawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan di mana-mana balai polis berhampiran.

– Sinar

Facebook Comments

Comments are closed.

Close