Polis Bantuan Dinaikkan Pangkat 2012

Polis bantuan dari agensi swasta terutamanya yang mempunyai bilangan anggota melebihi 1,000 akan dinaikkan pangkat dari Superintendan ke Asisten Komisioner.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kenaikan itu akan dilakukan awal tahun depan setelah pihaknya membuat pindaan undang-undang bawah Akta Polis serta perlu berbincang terlebih dahulu bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Sehingga kini, pangkat yang paling tinggi untuk polis bantuan adalah Superintendan dan mereka ini akan dinaikkan ke pangkat ACP (Asisten Komisioner). Saya bersedia untuk memberi kehormat kenaikan pangkat ini. Namun kita perlu membuat pindaan undang-undang iaitu bawah Akta Polis serta berbincang bersama KDN terlebih dahulu walaupun kuasa memberi pangkat adalah di bawah Ketua Polis Negara.

“Kita akan lakukan peringkat demi peringkat dengan keutamaannya kepada agensi yang mempunyai anggota antara 1,000 hingga 1,500 orang antaranya Petronas, Tenaga Nasional Bhd (TNB) serta Shell. Hanya yang berpangkat Superintendan sahaja akan dinaikkan pangkat ke ACP,” katanya pada Persidangan Tahunan Agensi Polis Bantuan ke-23/2011 semalam.

Menurutnya, kenaikan pangkat itu dibuat bertujuan untuk memantapkan organisasi polis bantuan yang dianggap sebagai tulang belakang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menurunkan kadar jenayah seluruh negara.

“PDRM memerlukan bantuan polis bantuan untuk menjaga keamanan negara. Tiada guna mempunyai anggota polis bantuan yang ramai tetapi tidak bersatu untuk sama-sama menurunkan kadar jenayah negara. Sehingga pertengahan tahun ini, me­ngikut statistik Indeks Keamanan Global (Global Peace), Malaysia kini berada di tangga 19 negara paling selamat antara 153 negara. Misi kita sekarang adalah untuk berada di tangga lebih tinggi berbanding statistik terkini.

“Untuk statistik jenayah pula, sehingga November 2011, seluruh negara mencatatkan penurunan sebanyak 10 peratus manakala jenayah jalanan menurun 40 peratus. Kita akan menurunkan lagi kadar jenayah dan untuk mencapai sasaran itu, PDRM bersama kekuatan polis bantuan ini akan terus bekerja keras bagi memastikan rakyat berasa selamat berada di negara ini,” katanya.

Ismail juga berharap Malaysia akan diletakkan di persada yang lebih baik dalam pengawalan kadar jenayah dan menjadikan Malaysia antara negara terbaik dalam memerangi jenayah.

“Saya percaya, dengan strategi yang ada, kita dapat menurunkan kadar jenayah pada tahun depan dengan sahabat PDRM ini antaranya Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close