Peniaga Mati Mengejut Dalam Kereta

Seorang peniaga ditemui mati dalam kereta yang diletakkan di deretan kedai dekat Taman Bukit Katil Permai, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa, Abd Rahman Adam, 56, ditemui mati di tempat duduk penumpang hadapan.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa bersama isteri keduanya yang dikenali sebagai Norliza, 47, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjemput isterinya itu dari tempat kerja di Taman Melaka Raya, di sini.

Sumber berkata, kedua-dua mereka berhenti di hujung bangunan deretan kedai di Jalan Tun Kudu, sebelum mangsa dikatakan pengsan menyebabkan isterinya menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

Mangsa dipercayai diserang sakit jantung meninggal dunia sebaik sahaja ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba.

Pada masa sama, Norliza turut menghubungi isteri pertama mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Maheran, 43, yang menetap di Pasir Panjang, Port Dickson, bagi memaklumkan kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat sebagai mati mengejut.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close