Penculik Warga Indonesia Ditembak Mati

Tiga penculik yang ditembak mati oleh polis di Sungai Siput, semalam, disahkan warga Indonesia dan terbabit dalam beberapa kes penculikan untuk mendapatkan wang tebusan di Kedah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahalan berkata, siasatan polis mendapati tiga suspek berusia antara 25 dan 30 tahun itu terlibat dalam dua kes penculikan di Kuala Muda dan masing-masing satu kes di Sungai Petani, Kubang Pasu dan Kota Setar.

MOHD. SHUKRI (kanan) menunjukkan pistol dan sebahagian senjata yang dirampas daripada tiga penjenayah pada sidang akhbar di Ipoh, Perak semalam

MOHD. SHUKRI (kanan) menunjukkan pistol dan sebahagian senjata yang dirampas daripada tiga penjenayah pada sidang akhbar di Ipoh, Perak semalam

Beliau berkata, terbaharu, pada 28 November lalu, mereka menculik seorang lelaki berusia 23 tahun yang merupakan anak kepada seorang kontraktor di Bukit Selambau, Sungai Petani dan meminta wang tebusan sebanyak RM500,000.

“Kita menyiasat sama ada kesemua lelaki tersebut turut terlibat dalam kes sama di negeri-negeri lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.40 petang kelmarin, tiga penjenayah ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di kawasan Hutan Sungai Sejuk, Batu 3 Lintang di Sungai Siput.

Menurut Mohd. Shukri, sebaik sahaja menerima laporan penculikan daripada keluarga mangsa di Bukit Selambau, polis melancarkan gerakan khas sebelum membebaskan mangsa yang juga anak kepada majikan ketiga-tiga penjenayah itu.

“Lewat petang kelmarin, pasukan khas yang terdiri daripada polis Kedah, Perak dan Bukit Aman berjaya mengesan kedudukan penculik dan mengepong kawasan hutan tempat persembunyian penjenayah tersebut.

“Semasa menghampiri tempat persembunyian, suspek yang menyedari kehadiran polis melepaskan tembakan sehingga memaksa polis membalas tembakan dan menyebabkan kesemua penjenayah itu terbunuh,” katanya.

Beliau memberitahu, pemeriksaan polis menemui sepucuk revolver berisi enam kelongsong peluru yang telah digunakan dan sebilah parang daripada seorang penjenayah terbabit.

“Kita juga menemui tiga bilah parang di tempat mangsa ditahan dan empat telefon bimbit yang salah satunya digunakan bagi menghubungi keluarga mangsa untuk menuntut wang tebusan.

“Mangsa yang diculik berjaya diselamatkan dan hanya mengalami kecederaan ringan. Dia kemudian dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close