Pembunuh Ibu Juruhebah Radio myFM Ditangkap

Tidak sampai lima jam, seorang lelaki berusia 29 tahun dipercayai suspek utama kes pembunuhan kejam seorang wanita warga emas di Taman Sri Segambut, di sini, malam kelmarin, ditahan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar, berkata lelaki terbabit ditahan di rumahnya di Sungai Way, dekat sini, jam 2 pagi selepas siasatan polis di tempat kejadian.

Gambar hiasan. Carian Google

Gambar hiasan. Carian Google

Menurutnya, sebelum itu dalam kejadian jam 9.15 malam, seorang wanita, Lai Kam Lian, 62, mati selepas ditikam lima kali di depan rumahnya di 3/194B, Taman Seri Segambut sejurus pulang daripada sesi tari-menari.

Mangsa yang juga ibu seorang juruhebah radio MyFM dan bedah siasat mengesahkan mangsa maut akibat lima tikaman di belakang badan, punggung dan tangan.

“Suspek kes itu ditahan tidak sampai lima jam selepas kejadian dan dia kini direman sehingga 8 Disember ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Motif suspek membunuh mangsa masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai menunggu sehingga mangsa masuk ke pekarangan rumah dan menikam wanita itu ketika dia hendak membuka pintu jeriji rumah.

“Ketika melakukan jenayah itu suspek pula memakai topi keledar, sarung tangan serta penutup muka. Dia dipercayai sudah berada di perkarangan rumah mangsa sebelum wanita itu tiba,” katanya. Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian tidak bertujuan untuk menyamun mangsa kerana barangan berharga milik mangsa tidak diambil suspek. Sementara itu, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, ia rutin mingguan mereka untuk menghadiri majlis tari-menari.

Katanya, apabila hujan mereka pulang ke rumah jam 9 malam dan wanita berusia 60-an itu berjalan pulang seorang diri. “Kira-kira 30 minit kemudian, saya menerima panggilan daripada seorang rakan yang tinggal berdekatan rumah mangsa memberitahu dia sudah meninggal dunia. “Saya tidak menyangka ini kali terakhir dia berhibur bersama kami,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close