Pegawai Polis Parah Ditetak Ketika Serah Saman

Seorang pegawai polis cedera parah selepas ditetak dengan parang ketika bergelut dengan seorang lelaki di Kampung Gelam 2, Alor Pudak, Bukit Besar Yan dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, Inspektor Mohd. Firdaus Zainal, 29, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Yan cedera parah di bahagian kaki kiri akibat ditetak suspek manakala seorang lagi pegawai juga berpangkat inspektor turut cedera ringan.

Sebuah kereta polis juga mengalami kerosakan akibat tindakan suspek berusia 45 tahun itu dengan nilai kerugian antara RM2,500 hingga RM3,000.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, mangsa bersama sepasukan 12 pegawai dan anggota polis ke rumah suspek di kampung berkenaan bagi menyerahkan notis saman berkaitan kes khianat yang dipercayai dilakukan lelaki berkenaan awal tahun ini.

Bagaimanapun kata beliau, suspek yang melihat kehadiran polis mengambil parang panjang sebelum menyerang pegawai serta anggota polis itu serta merosakkan kenderaan mereka.

“Pegawai berkenaan cuba menahan lelaki itu tanpa menggunakan senjata dan berlaku pergelutan sehingga suspek menetak bahagian kaki kiri pegawai itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Ahmad berkata, suspek yang kemudiannya berjaya ditahan dihantar ke Hospital Yan sebelum dirujuk ke HSB Alor Setar dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kes ini akan disiasat sama ada mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atau Seksyen 326 kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata. Kami akan merujuk pihak hospital untuk mengenal pasti sama ada suspek mempunyai masalah mental atau sebaliknya,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close