Orang Minyak Mengganas Di Gombak

Gara-gara trauma akibat diganggu orang minyak, sebuah keluarga di Kampung Laksamana dekat sini terpaksa meninggalkan rumah mereka buat sementara waktu bermula Sabtu lalu.

Mangsa, Kamal Bahari Satar, 36, berkata, keputusan itu diambil selepas keluarga diganggu orang minyak selama lima hari berturut-turut.

“Adik ipar yang datang ke sini tidak tahan selepas diganggu oleh orang minyak yang muncul beberapa kali di dalam dan luar rumah,” katanya ketika ditemui semalam.

Anehnya kemunculan orang minyak itu hanya boleh dilihat oleh ahli keluarga perempuan sahaja.

Menurutnya, kejadian kemuncak berlaku awal pagi Sabtu lalu apabila orang minyak tersebut bertindak mengunci pintu rumah dari dalam sewaktu ahli keluarganya berada di dalam rumah.

“Apa yang pasti, lembaga itu yang bersembunyi di bawah meja makan dicucuk dengan buluh runcing oleh orang kampung dan terdapat kesan darah pada buluh tersebut. Makhluk itu kemudiannya masuk ke rumah sebelah dan kelibatnya disaksikan oleh isteri jiran saya sendiri,” katanya.

Menurutnya, turut ditemui kesan tapak tangan berminyak di tembok dan tapak kaki sewaktu kelibat itu muncul di luar rumah dan kesan ini ditemui oleh anggota polis sewaktu melakukan pemeriksaan.

Kamal Bahari berkata, adik iparnya yang dicalit minyak hitam oleh makhluk itu juga terpaksa dibawa menjalani rawatan alternatif selepas terdengar bunyi bisikan memanggilnya keluar dari rumah selepas itu.

“Syukur adik ipar saya kini sudah sembuh sepenuhnya daripada gangguan tersebut, namun keluarga masih trauma dengan keadaan itu terutama adik perempuan saya yang berumur 22 tahun,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close