Maut Ditetak Tiga Lelaki

Seorang lelaki maut ditetak selepas diserang tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang di sebuah restoran di Taman Puteri Wangsa di sini, awal pagi ini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an dan bekerja sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) sedang minum seorang diri di restoran tersebut sebelum didatangi tiga lelaki berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supritendan Abdul Samad Salleh berkata, mangsa tidak sempat melarikan diri apabila diserang tiga lelaki itu.

“Ketiga-tiga suspek dikatakan terus menyerang mangsa sebelum beredar dengan menaiki sebuah kereta. Malah, menurut saksi, kejadian itu berlaku terlalu pantas.

“Berikutan serangan itu, mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa anggota badan dan kepala maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Samad memberitahu, mayat lelaki tempatan itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk bedah siasat dan polis masih menyiasat motif pembunuhan.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close